Wednesday, April 20, 2011

Jadual Pengajian 2011



Sebarang perubahan akan dimaklumkan dan jika terdapat pertanyaan sila hubungi Encik Abd Rahim 019-6543244

Monday, April 18, 2011

Para Sahabat Memohon Syafa`at Nabi SAW

Para Sahabat Memohon Syafa`at Nabi SAW
oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 19 April 2011

Kita berada di awal-awal perbincangan tentang Syafa`at iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi suatu isu disisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain Allah SWT. Isu ini bukan sengaja diada-adakan. Kami sendiri pernah mengalami bagaimana ketika bercakap dalam satu majlis bersama para pelajar pengajian Islam di sebuah negara semenanjung Arab, seorang pelajar menegur tegas apabila terdengar ada kata-kata kami yang berunsur memohon Syafa`at Nabi SAW.

Mari kita lihat bagaimana sikap para Sahabat RA dalam hal ini. Jelas dan thabit, terdapat hadith yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW, dan Baginda SAW tidak pernah mengatakan: “Bahawa meminta syafa’at daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyengutukan Tuhan kamu dengan sesuatu.”

Sebagai contoh, Anas ibn Malik RA pernah berkata: “Wahai Nabi Allah! Syafa’atkanlah aku pada hari Kiamat.” Maka Rasulullah S bersabda, “Aku akan melakukannya.” (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah) Sawaad ibn Qaarib RA juga pernah berkata di hadapan Rasulullah SAW: “Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib;Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!” Hingga dia juga mengatakan:“Maka jadilah engkau pemberi syafa’at bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafa’at, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib.” (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibn `Abd al-Barr, dan Ibn Hajar dalam Fathul Bari)

Rasulullah SAW memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafa’at daripadanya.

Sahabat lain yang pernah memohon syafa’at daripada Baginda S ialah Mazin ibn al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: “Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari ‘Uman ke ‘Araj; Agar engkau dapat mensyafa’atkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan.”(riwayat Abu Nu`aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms:77)

‘Ukkasyah ibn Mihsan RA juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW. Ketika Baginda SAW menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab, ‘Ukkasyah berkata, “Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu.” Rasulullah SAW terus bersabda, “Engkau termasuk di kalangan mereka.”

Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafa’at atau ditolong oleh Rasulullah SAW melalui Syafa’at Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah thabit dengan jelas dalam beberapa hadith mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafa’at.

Riwayat seperti ini banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang mulia. Semua hadith tersebut menunjukkan keharusan memohon syafa’at daripada Rasulullah SAW semasa di dunia. Di antara mereka, ialah sahabat yang memohon dengan menentukan permohonannya, “Berilah aku Syafa’at!” Ada yang memohon supaya dapat masuk syurga, atau memohon termasuk dari kalangan orang-orang yang dahulu masuk syurga, atau memohon supaya dapat meminum air telaga Kauthar, atau dapat menjadi teman Baginda SAW di dalam syurga sebagaimana yang dikecapi oleh Rabi’ah al Aslami RA yang pernah berkata, “Aku memohon kepadamu supaya aku dapat menemanimu di syurga!” Lalu Rasulullah SAW menunjukkannya jalan untuk mencapai cita-citanya itu. Rasulullah SAW bersabda, “Bantulah aku untuk (menyempurnakan hajat)mu itu dengan memperbanyakkan sujud.”

Baginda SAW tidak pernah bersabda kepadanya atau kepada sahabat yang memohon masuk syurga, atau memohon dapat bersama Baginda SAW, atau bercita-cita menjadi ahli syurga, atau memohon dapat meminum air telaga Kauthar, atau tergolong di kalangan orang yang mendapat keampunan, “Sesungguhnya permohonan seperti ini adalah haram dan ia tidak boleh diminta sekarang, kerana waktunya belum tiba, dan tunggulah hingga Allah mengizinkan aku untuk memberi syafa’at, atau memasukkan seseorang ke dalam syurga, atau untuk memberi minuman dari Telaga al Kauthar.” Padahal, sebenarnya semua yang diminta oleh para Sahabat RA itu hanya akan terjadi setelah adanya Syafa’at Terbesar.

Dengan demikian, jelaslah bahawa apa yang mereka minta itu ialah meminta Syafa’at. Nabi Muhammad SAW menggembirakan mereka dengan perkara tersebut dan menjanjikan mereka dengan apa yang menyedapkan hati dan menyejukkan mata mereka. Mustahil jika perkara tersebut suatu perkara yang dilarang, kemudian tidak dijelaskan kepada mereka hukumnya kerana bersikap manis di mulut sahaja atau berputar belit. Rasulullah SAW tidak sekali-kali bersikap penakut atau takut cacian dalam prinsipnya menegakkan kebenaran. Baginda SAW menyambut permohonan mereka dengan meriangkan hati mereka dan menjanjikan perlaksanaannya itu sesuai dengan tuntutan kebenaran dan berasaskan dari asal-usul agama, serta sangat jauh dari segala kebatilan dan kemunafiqan.

Apabila telah sah memohon Syafa’at daripada Rasulullah SAW di dunia, sebelum di akhirat, bererti, Syafa’at yang diminta daripadanya di dunia, benar-benar akan diperolehi apabila tiba waktunya nanti, iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan para pemberi Syafa’at untuk memberikan Syafa’at mereka. Bukan bererti orang yang memohon Syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW ketika di dunia akan menerimanya sebelum sampai masanya.

Permasalahan ini sebenarnya sama seperti khabar gembira daripada Rasulullah SAW tentang syurga yang dijanjikan kepada kebanyakan orang Mukmin. Maknanya, mereka akan masuk syurga dengan sebenar-benarnya pada masanya iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan mereka memasukinya pada waktu yang telah ditentukan. Bukan bererti bahawa mereka akan memasuki syurga di dunia, atau di alam barzakh. Kita percaya bahawa tiada di sana terdapat umat Islam awam yang berakal mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang bercanggah dari itu.

Monday, April 11, 2011

Salah Faham Terhadap Syafa`at

Salah Faham Terhadap Syafa`at Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN Utusan Malaysia, 12 April 2011
Alhamdulillah, sesudah kita menamatkan perbahasan mengenai isu Tawassul, pada minggu ini, dengan memohon tawfiq dan inayah Ilahi, kita akan usaha kita memurnikan salah faham terhadap isu-isu agama dengan beralih kepada isu Syafa`at. Seperti sebelumnya, pendekatan yang kita ambil adalah dengan merujuk kepada huraian pandangan Al-`Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid `Alawi al-Maliki dalam bukunya Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).


Usaha kami ini sangat sederhana dalam menyumbang kepada tugas yang berat dan besar iaitu mempertahankan agar aliran kefahaman agama Islam di negara kita dapat dikekalkan atas fahaman Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Sedangkan pihak-pihak yang mahu menukarkannya kepada aliran-aliran fahaman lain terus berusaha dengan menggunakan pelbagai ruang media arus perdana dan alternatif, menganjurkan seminar kecil dan besar, didokong dengan dana luar dan dalam, demi menghakis keutuhan fahaman Islam di Malaysia yang sangat dicemburui. Kita hanya mampu berdoa bahawa usaha kita yang tidak setanding dengan cabaran yang ada, akan ditampung dan ditimbal dengan rahmat dan inayah Ilahi kepada kita semua. Amin.

Syafa’at bermaksud pertolongan atau bantuan. Dalam konteks perbincangan kita, isu Syafa’at merujuk kepada perbahasan yang timbul berkenaan seseorang yang memohon pertolongan dan bantuan kepada selain daripada Allah SWT khususnya memohon Syafa’at daripada Rasulullah SAW. Sebahagian orang berpendapat bahawa tidak boleh memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia. Bahkan, menurut sebahagian orang yang gemar menimbulkan kekeliruan, bahawa memohon syafa’at adalah perbuatan syirik dan sesat.


Dalil yang mereka gunakan untuk mempertahankan pendapat mereka yang salah itu ialah firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allahlah semua syafa’at.” (al-Zumar: 44). Kita menegaskan bahawa kaedah penggunaan dalil mereka ini adalah batil, dan ternyata menunjukkan kepada kefahaman mereka yang rosak. Kesalahan mereka ini boleh dibuktikan dari dua aspek:


  • Pertama:Hakikatnya, tidak terdapat di sana mana-mana nas; sama ada dari al-Quran, mahupun Sunnah yang melarang memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia.

  • Kedua: Ayat ini sama sekali tidak menunjukkan kepada larangan memohon Syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia (dan di akhirat). Sebaliknya, seperti ayat-ayat lain yang seumpamanya, ayat ini diturunkan bagi menjelaskan pengkhususan Allah SWT dengan apa yang dimilikiNya dan tidak dimiliki oleh orang lain (makhluk). Maknanya, Allah adalah Pengurus urusan Syafa’at yang hanya khusus bagiNya. Namun, ini tidak menafikan bahawa Dia juga berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, apabila Dia menghendakinya. Dia adalah Pemilik kerajaan, yang berhak memberikan kerajaan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan menarik kekuasaan atau kerajaan itu daripada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Ayat lain yang seumpama dengan ayat Syafa’at ini ialah firman Allah SWT: “BagiNya segala Kerajaan, dan bagiNya juga segala pujian.”(al-Taghaabun:1) Allah menyifatkan diriNya sebagai Pemilik Kerajaan, tetapi Dia juga dengan tegas menyatakan: “Engkau memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.”(Aali Imran:26)


Sama seperti dalam ayat mengenai Syafa’at di atas, ayat-ayat ini menisbahkan segala kerajaan dan kekuasaan kepada Allah SWT. Dalam ayat lain mengenai pemilik `Izzah atau kemuliaan Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya, orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat, dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” (al-Faatir:10) Tetapi di tempat lain dalam al-Quran, Allah SWT juga berfirman: “Dan milik Allahlah kemuliaan itu dan bagi rasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.”(al-Munafiqun:8)


Begitu jugalah dalam permasalahan syafa’at. Allah SWT berfirman:“Katakanlah (wahai Muhammad) hanya milik Allah (memberi) syafa’at itu semua.”(al-Zumar: 44) Namun, Allah SWT juga berfirman, “Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah Yang Maha Melimpah-ruah rahmatNya.” (Maryam: 87). Dalam satu ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafa’at pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang sebenar-benarnya, mereka mengetahuinya dengan yakin.” (al-Zukhruf: 86) Maka jelasnya, sebagaimana Allah SWT berhak memberikan apa saja, kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya, bahkan Dia juga memberikan ‘kemuliaan’ yang menjadi milikNya kepada rasulNya, dan kepada orang-orang Mukmin, demikian jugalah dengan Syafa’at. Dialah yang memiliki Syafa’at itu sepenuhnya; tetapi Dia juga telah memberikan (hak memberi) Syafa’at itu kepada para Nabi dan hamba-hambaNya yang soleh. Bahkan, kepada kebanyakan orang Mukmin awam, sebagaimana yang disebut di dalam hadith-hadith sohih yang mutawatir makna.

Lalu, halangan bagaimanakah lagi yang menghalang seseorang manusia memohon kepada Allah Yang Maha Memiliki, sebahagian daripada apa yang dimilikiNya? Lebih-lebih lagi, jika yang dipohon itu adalah kepada Yang Maha Pemurah, sementara yang memohon itu pula dalam keadaan sangat memerlukan kepada apa yang dipohonnya. Bukankah memohon Syafa’at itu merupakan doa, dan doa itu pula suatu perkara yang diizinkan untuk melakukannya, diupayakan ke atasnya, bahkan akan dikabulkan daripada orang-orang yang beriman, lebih-lebih lagi jika yang berdoa itu adalah para nabi dan orang-orang soleh; baik semasa hidup mahupun setelah wafat; baik ketika mereka berada di alam kubur (alam barzakh), mahupun ketika hari Kebangkitan. Justeru, Syafa’at akan diberikan kepada hamba-hamba Allah yang memang telah membuat perjanjian dengan Allah Yang Maha Pemurah (bahawa Tuhan mereka adalah Allah) dan akan diterima di sisi Allah pada setiap insan yang mati dengan membawa tauhid.

Di awal-awal bicara kita ini sudah terbayang bagi kita bahawa adalah terlalu gopoh dan cuai untuk kita menghukum sesat atau syirik sesama Islam hanya kerana memohon Syafa’at kepada Nabi SAW ataupun orang-orang soleh. Semoga kita di beri kekuatan untuk menyempurnakan perbahasan isu ini.

Sunday, April 3, 2011

Tawassul : Kesimpulan

Tawassul : Kesimpulan
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 5 April 2011

Setelah kita membahaskan isu tawassul dalam 14 siri yang lepas, sampailah untuk kita menyimpulkan perbahasan kita seperti berikut. Adalah tidak disyaki lagi, bahawa Nabi SAW mempunyai kedudukan yang tinggi, martabat yang mulia dan pangkat yang besar di sisi Allah SWT. Maka syariat dan logik akal yang mana satukah yang menegah bertawassul dengan Baginda SAW, terutamanya apabila terdapat dalil-dalil yang telah menetapkannya di dunia dan akhirat?

Ditegaskan, bahawa dalam bertawassul, kita tidak sekali-kali memohon kepada selain Allah SWTdan tidak berdoa melainkan hanya kepadaNya. Kita hanya berdoa kepadaNya dengan atau melalui apa yang dikasihiNya. Kadang kala kita memohon kepadaNya dengan amalan-amalan soleh kita kerana Dia menyukai dan meredhainya. Kadang kala kita memohon kepadaNya dengan perantaraan makhluk yang dikasihiNya, sebagaimana yang disebut di dalam hadith Nabi Adam AS yang lepas dan hadith Fatimah binti Asad yang telah kita sebutkan dan hadith Uthman ibn Hunaif RA.

Kadang kala kita memohon kepadaNya dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah sebagaimana doa Nabi SAW: “Aku memohon kepadaMu dengan sesungguhnya Engkau adalah Allah.” Atau, kadang kala kita memohon kepadaNya dengan sifat atau perbuatanNya, sebagaimana sabda Nabi SAW di dalam hadith yang lain: “Aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasan azabMu.”

Justeru, tawassul itu tidak terbatas pada ruang yang sempit sebagaimana sangkaan orang-orang yang menolaknya. Rahsianya, adalah sah kita bertawassul dengan semua yang dikasihi oleh Allah. Begitu jugalah halnya dengan sesiapa sahaja yang dikasihi oleh Allah; sama ada dari kalangan nabi atau wali. Ini adalah jelas di sisi setiap insan yang mempunyai fitrah yang sejahtera. Ia tidak ditegah atau ditolak oleh akal dan naqal, bahkan akal dan naqal saling menyokong atas keharusannya. Jelasnya, yang diminta dalam bertawassul ialah Allah yang Esa tanpa ada yang menyengutuiNya; bukan kepada Nabi, wali, kepada yang hidup atau yang mati. Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad, “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari Allah.” Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Al-Nisaa’: 78)

Jika diterima bahawa harus bertawassul dengan amalan, maka sudah tentu bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW lebih utama, kerana Baginda SAW adalah paling mulia dari sekalian makhluk dan segala amalan berpunca daripada amalan Baginda SAW. Allah juga lebih besar kasihNya terhadap Baginda SAW daripada segala amalan dan lain-lainnya. Justeru, tidak ada sebarang penghalang daripada bertawassul dengan Baginda SAW. Tidak lebih dari itu, bahawa seseorang itu bertawassul kerana berkeyakinan bahawa Nabi SAW mempunyai kedudukan di sisi Allah dan orang yang bertawassul tidak mempunyai tujuan yang lain dari itu. Sesiapa yang mengingkari atau menafikan kadar kedudukan Nabi SAW di sisi Allah, maka dia adalah kafir sebagaimana yang telah kita katakan.

Tidak diragui lagi, bahawa orang yang bertawassul dengan perantaraan orang-orang soleh, bertawassul dengannya hanya kerana mereka adalah orang yang melakukan amalan soleh. Maka ia kembali kepada asalnya, iaitu amalan soleh yang sememangnya disepakati keharusan bertawassul dengannya, sebagaimana yang telah kita katakan pada awal perbicaraan.

Semua hadith dan athar yang telah disebutkan, menetapkan dan mendukung keharusan bertawassul. Sekiranya dikatakan, ia hanya khusus semasa hayat Baginda SAW, maka jawapannya: “Pengkhususan yang dikatakan ini tidak langsung mempunyai dalil yang menunjukkan ke atasnya. Sesungguhnya ruh itu adalah kekal dan mempunyai perasaan, pengetahuan dan pemahaman.”

Mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah berpegang bahawa mayat boleh mendengar, merasa dengan pancaindera dan merasa dengan perasaan. Mayat juga boleh mendapat manfaat dengan suatu kebaikan, boleh bergembira, merasa sakit dengan suatu keburukan dan berdukacita. Keadaan ini dinisbahkan kepada manusia kebanyakan secara umum. Atas dasar ini, Nabi SAW pernah menyeru penghuni (perkuburan) al-Qalib yang terdiri daripada kafir Quraisy dalam peperangan Badar, “Wahai ‘Utbah! Wahai Syaibah! Wahai Rabi’ah!” Maka Rasulullah SAW ditanya, “Kenapa tuan memanggil mereka, sedangkan mereka telah menjadi bangkai?” Maka sabda Baginda SAW, “Kalian tidaklah lebih mendengar daripada mereka, cumanya mereka tidak mampu menjawab.”

Jika begini keadaannya bagi manusia kebanyakan, maka bagaimana pula keadaannya dengan seafdhal-afdhal, semulia-mulia dan seagung-agung manusia? Tidak disyaki lagi, bahawa Baginda SAW adalah manusia yang paling sempurna dalam hal dapat merasa dan mengetahui serta paling kuat perasaannya. Sesungguhnya telah diriwayatkan keterangan di dalam hadith yang banyak, bahawa Baginda SAW mendengar percakapan, membalas salam, dibentang kepada Baginda SAW amalan umatnya, Baginda SAW memohon keampunan bagi kejahatan umatnya dan memuji Allah di atas kebaikan mereka.

Hanya orang-orang yang telah mati (hatinya) itu ialah orang yang mempercayai bahawa Nabi SAW tidak mampu mendengar, melihat dan mengetahui keadaan kita. Bahkan, Nabi SAW juga tidak mampu berdoa kepada Allah untuk kita. Apakah jenayah yang lebih besar daripada kesesatan ini? Apakah kejahilan yang lebih teruk daripada kedunguan ini? Mereka benar-benar bersikap kurang ajar dan memperkecil-kecilkan kedudukan Nabi SAW. Sesungguhnya telah saling dokong-mendokong hadith-hadith dan athar yang menetapkan bahawa mayat boleh mendengar, merasa dan mengetahui perkara yang berlaku; tidak kira mayat itu adalah Mukmin atau kafir. Berkata Ibnu al Qayyim di dalam kitab al-Ruh: Ahli Salaf telah berijma’ dalam perkara ini, bahkan telah mutawatir athar-athar berkaitan dengannya. Begitu juga Ibnu Taimiyyah telah dipersoalkan tentang perkara ini. Maka beliau telah mengeluarkan fatwa yang menyokong perkara tersebut. (Al-Fatawa, Jilid 24, ms. 331, 362)

Jika sedemikian halnya bagi kebanyakan manusia, maka apakah fikiran kamu tentang orang-orang Mukmin umumnya, hamba-hamba Allah yang soleh khasnya dan juga penghulu kita Muhammad SAW?

Ulama Islam Yang Bertawassul

Di sini, kita hanya sebutkan nama-nama ulama’ yang masyhur; yang memperkatakan (tentang keharusan) bertawassul atau pun ulama’ yang menaqalkan dalil-dalil mengenainya dari kalangan ulama’ muktabar dan para hafiz hadith. Di antara mereka ialah:

1. Imam al-Hakim RA dalam Kitabnya al-Mustadrak ‘ala al-Sohihain. Beliau telah menyebut hadith tawassul Nabi Adam AS dengan Nabi Muhammad SAW dan mensohihkannya.

2. Imam al-Baihaqi RA dalam kitabnya Dalail al-Nubuwwah telah menyebut hadith Tawassul Nabi Adam AS dan lain-lainnya. Beliau telah mensyaratkan dirinya supaya tidak mengeluarkan sebarang hadith maudhu’ di dalam penulisannya.

3. Imam Jalaluddin Suyuti RA dalam kitabnya al-Khasois al-Kubra telah menyebut hadith Tawassul Nabi Adam AS.

4. Imam Ibnu Jauzi RA dalam kitabnya al-Wafa telah menyebut hadith Tawassul Nabi Adam RA dan yang lainnya.

5. Imam Qadhi ‘Iyadh RA dalam kitabnya al-Syifa telah menyebut dalam bab Ziarah dan bab Fadhl (kelebihan) Nabi SAW banyak dalil yang berkaitan tentang tawassul.

6. Imam Mulla Ali al-Qari dalam Syarahnya atas kitab al-Syifa.

7. Imam al-Qastallani RA dalam kitabnya, al-Mawahib al-Laduniyyah pada bab yang pertama.

8. Imam al-Nawawi RA dalam kitab al-Idhah (bab: 6, ms. 498)

9. Al-Allamah Ibnu Hajar al-Haitami RA dalam Hasyiahnya terhadap kitab al-Idhah, (ms. 499)

10. Al-‘Allamah Imam al-Syaukani RA dalam kitabnya, Tuhfah al Zakirin (ms. 161

11. Al ‘Allamah Imam al-Subki RA dalam kitabnya Syifa’ al Saqqam fi Ziarah Khair al Anam.

12. Al Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Kathir RA dalam tafsir firman Allah SWT: “Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri.”(Al-Nisaa’: 64) telah menyebut kisah ‘Utbi dan kisah Tawassul Nabi Adam dengan Nabi S dalam kitab al-Bidayah wa al Nihayah (Beliau tidak menghukum hadith ini dengan maudhu’) (Jilid: 1, ms.180). Beliau juga telah menyebut dalam jilid: 1, ms. 91, kisah seorang lelaki yang telah datang ke maqam Nabi dan bertawassul dengan Baginda SAW. Beliau berkata isnadnya adalah sohih. Beliau juga menyebut bahawa Syiar Orang Islam ketika peperangan Yamamah ialah “Ya Muhammad!”) (Jilid: 6, ms.324)

13. Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani RA yang telah menyebut kisah seorang lelaki yang telah datang ke maqam Nabi SAW dan bertawassul dengan Baginda SAW dan beliau telah mensohihkan sanadnya dalam kitab Fath al-Bari (Jilid 2 H: 495)

14. Imam al-Mufassir al-Qurtubi RA juga telah menyebut kisah orang Badawi yang bertawassul dengan Baginda SAW di dalam tafsirnya, (Jilid 5, ms.265).

Sudah tentu para pemuka ulama Islam ini adalah lebih wajar diletakkan kepercayaan berkaitan dengan hal-hal keagamaan kita berbanding dengan mereka yang menyesatkan dan mempermasalahkan tawassul. Terutamanya apabila mereka dan yang selain mereka bersepakat dan bersependirian dalam isu ini. Semoga Allah SWT menghimpunkan kita bersama mereka dan Penghulu mereka , Sayyiduna Muhammad SAW.

Tuesday, March 29, 2011

Tawassul, Ziarah dan Kisah al-`Utbi

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 29 Mac 2011

Jika di minggu yang lepas kita telah merenung peristiwa sejarah Saidina Umar dan umat Islam dizamannya bertawassul dengan al-`Abbas RA, pada kali ini mari kita melihat pula satu lagi peristiwa sejarah yang lebih masyhur sebagai kisah `Utbi. Berkata al-Imam al-Hafiz Syeikh ‘Imaduddin Ibnu Kathir: Telah menyebut suatu jema’ah; di antara mereka ialah Syeikh Abu Mansur al-Sobbagh di dalam kitabnya al-Syamil tentang hikayat yang masyhur mengenai ‘Utbi, yang menceritakan:

Ketika aku sedang duduk di sisi maqam Nabi SAW, datang seorang Arab Dusun lalu mengucapkan: “Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah SAW! Aku telah mendengar Allah SWT berfirman: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa`: 64) Sesungguhnya aku datang kepadamu kerana memohon keampunan dari segala dosaku, dan mengharapkan syafa’atmu kepada Tuhanku.”

Setelah itu, Arab Dusun tersebut mendendangkan beberapa bait syair: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.” Kemudian orang Arab Dusun itu beredar dari situ. Peristiwa tersebut terbawa-bawa dalam tidurku. Lalu aku bermimpi melihat Nabi SAW bersabda kepadaku, “Wahai ‘Utbi! Pergi dapatkan lelaki itu dan sampaikan berita gembira kepadanya, bahawa Allah telah mengampunkan dosanya.”

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Idhah (ms. 498). Ia juga diriwayatkan oleh al Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya yang begitu masyhur ketika mentafsirkan ayat di atas. Kisah ini turut diriwayatkan oleh Syeikh Abu Muhammad Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (jilid 3, ms.556). Ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Abu al Farj Ibnu Qudamah di dalam kitabnya al-Syarh al-Kabir (Jilid 3, ms.495). Selain itu, ia juga dinaqalkan oleh Syeikh Mansur ibn Yunus al-Buhuti di dalam kitabnya yang dikenali dengan Kasyshaf al-Qina’; salah sebuah kitab termasyur dalam mazhab Hanbali (Jilid 5, ms.30).

Imam al Qurtubi, seorang ulama’ besar yang menjadi sandaran ahli Tafsir, menyebut kisah yang hampir sama di dalam tafsirnya yang terkenal, al-Jami’ li Ahkam al-Quran.

Beliau berkata: Telah meriwayatkan Abu Sodiq daripada Ali berkata:
“Telah datang kepada kami seorang Arab Dusun selepas tiga hari kami mengkebumikan jenazah Rasulullah J. Dia melemparkan dirinya di sisi maqam Rasulullah S dan melumurkan debu-debunya di atas kepalanya. Lalu dia berkata, “Engkau telah bersabda, wahai Rasulullah! Dan Aku telah mendengar sabdamu itu. Aku telah mengingatinya daripada Allah dan daripadamu (ayat tersebut). Antara yang diturunkan oleh Allah kepadamu: “Seandainya mereka telah menganiaya diri mereka (membuat dosa), lalu mereka datang kepadamu (Nabi Muhammad SAW) dan memohon keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan bagi mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

“Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku datang kepadamu untuk meminta agar engkau memohon keampunan untukku.” Lalu berseru suatu suara dari Maqam, “Sesungguhnya kamu telah diampunkan.” (Al-Jami` li al-Ahkam al-Quran, Jilid 5, ms. 265)

Inilah kisah al ‘Utbi, dan mereka yang telah disebutkan di atas adalah ulama’ yang telah menaqalkan kisah ini; sama ada dengan sanad yang sohih atau pun dha’if; yang boleh menjadi sandaran para ahli hadith di dalam menentukan suatu khabar. Maka kita ingin bertanya, adakah para tokoh ulama ini menaqalkan sesuatu yang menimbulkan kekufuran dan kesyirikan? Atau, apakah mereka menaqalkan sesuatu yang membawa kepada penyembahan berhala dan peribadatan kepada kubur? Jika perkara tersebut sedemikian, maka apakah wajar diletakkan kepercayaan kepada mereka atau kepada kitab-kitab mereka? Sedangkan kita semua maklum kedudukan mereka dan kitab-kitab mereka ini di sisi umat Islam. “Maha Suci Engkau, ya Allah! Ini adalah satu pembohongan yang besar.”

Sebagaimana yang lepas, disebutkan dua bait syair yang didendangkan oleh orang Arab Dusun tersebut ketika menziarahi Nabi SAW. Ia diriwayatkan oleh al ‘Utbi, seperti berikut: “Wahai penghuni kuburan yang tulang-belulangnya di tanah yang suci ini, kerana kandungannya yang baik, tanah dan bukitnya juga dipuji.”“Jiwaku sedia berkorban terhadap orang yang mendiami kuburan ini, yang bersifat bersih diri, murah hati lagi dihormati.”

Bait syair ini, dengan kurniaan Allah tertulis di bahagian hadapan maqam Nabi SAW yang mulia; di tiang yang terdapat di antara tingkap bilik maqam Rasulullah SAW. Tulisan itu boleh dilihat oleh semua, yang mulia mahupun hina sejak beratus-ratus tahun hingga zaman kita ini. Ia mengingatkan sekalian yang hadir tentang betapa mulianya maqam yang sedang diziarahi oleh mereka yang menziarahinya. Secara tidak langsung ia juga mengingatkan kita tentang sikap dan budaya para Salaf dalam menziarahi dan bermuamalah dengan Rasulullah SAW sesudah kewafatan Baginda SAW.

Mereka tidak merasa canggung untuk memuliakan maqam Rasulullah SAW. Tidak kekok untuk berbahasa dengan Baginda SAW dengan nama panggilan pertama, sama seperti bicara mereka dengan Baginda ketika hayat Baginda SAW. Tidak melepaskan peluang ziarah yang mulia itu untuk mengadu dan memohon bantuan dan syafa`at Baginda SAW sebagai wasilah mereka yang paling ampuh kepada Allah SWT. Pendek kata, mereka tidaklah cenderung untuk mengaitkan ziarah maqam yang paling mulia itu dengan gejala kesyirikan, bid`ah mahupun kesesatan.

Maka di musim umat Islam berziarah ke Tanah Suci ini, marilah kita memperbetulkan kefahaman kita tentang empunya maqam yang kita ziarahi di kota Madinah yang bercahaya itu. Janganlah dalam kita membawa jasad kita menghampiri Nabi SAW, hati kita dipenuhi dengan pra-sangka dan salah-sangka yang pada hakikatnya lebih menjauhkan diri kita daripada hadrat Nabi SAW lantas menjauhkan pula kita dengan Allah SWT. Bersiaplah dan berziarahlah sebagaimana tuan-tuan menziarahi Nabi SAW yang hidup dan bersemayam atas takhta kenabian Baginda SAW. Kerana itulah hakikatnya dan Baginda SAW amat sedar dan tahu tentang setiap yang menziarahinya, mengucap selawat dan salam ke atasnya dan merindui Baginda SAW.

Monday, March 21, 2011

Tawassul Umar RA dengan Al-Abbas RA

Tawassul Umar RA dengan Al-Abbas RA
Utusan Malaysia, 21 Mac 2011

Kisah masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: “Bahawa Umar ibn al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibn Abdul Muttalib RA, dengan doanya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.”

Al-Zubair ibn Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibn Umar RA berkata:Umar ibn al Khattab  telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan ‘Abbas ibn Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang beterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah S menghormati bapa saudaranya, ‘Abbas  dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai ‘Abbas!”

Di antara doa ‘Abbas RA ialah: “Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepadaMu kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepadamu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepadaMu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya.”

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui ‘Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain.” Umar RA berkata berikutan hal tersebut, “Demi Allah! Dia (‘Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan ‘Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya. Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan ‘Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah. Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka. Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri dari kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

‘Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: “Umat ini telah mendekatiMu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! NabiMu pada bapa saudaranya.” Maksudnya, terimalah doaku kerana NabiMu SAW.

Persoalan ini termasuk dalam permasalahan istisqa’ (memohon diturunkan hujan). Ia tiada kaitan dengan tawassul yang baru sahaja kita bicarakan sebentar tadi dan diperselisihkan. Ini adalah perkara yang diketahui oleh mereka yang mempunyai dua mata, kerana kisah ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka telah ditimpa kemarau dan berhajat untuk meminta pertolongan dengan melakukan solat istisqa’ (minta hujan). Untuk mendirikannya, sudah tentu memerlukan kepada seorang imam yang akan solat dengan mereka, berdoa untuk mereka dan mendirikan syiar Islam ini yang pernah ditegakkan oleh Nabi SAW ketika berada di alam pentaklifan (dunia) seperti syiar-syiar agama yang lain; menjadi imam, solat Jumaat dan berkhutbah. Kesemuanya ini adalah tugasan dalam pentaklifan yang tentu sahaja tidak boleh didirikan oleh penghuni alam barzakh kerana telah terputusnya pentaklifan daripada mereka dan kesibukan mereka dengan sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Orang yang memahami bahawa Umar RA hanya bertawassul dengan ‘Abbas RA dan tidak bertawassul dengan Rasulullah SAW kerana ‘Abbas RA masih hidup dan Nabi SAW telah wafat, adalah orang yang telah mati kefahamannya, dikuasai oleh keraguannya dan hanya mengajak dirinya menilai dengan kejahilannya yang nyata. Atau pun, dia telah dikuasai oleh sifat ekstrim dengan pendapat sendiri yang ada dalam dirinya. Sesungguhnya Umar RA bertawassul dengan ‘Abbas RA hanya kerana hubungan kerabat yang dimiliki oleh ‘Abbas RA dengan Rasulullah SAW, sebagaimana yang ditunjuki di dalam doanya, “Sesungguhnya kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Dengan doanya itu, dia telah bertawassul dengan Rasulullah SAW melalui cara yang paling baik.

Sesungguhnya telah melencong terlalu jauh, orang yang melemparkan tuduhan syirik ke atas orang-orang Islam disebabkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengharuskan tawassul dengan orang hidup. Sekiranya bertawassul itu adalah syirik, sudah tentu ia tidak harus; tidak kira dengan kemuliaan orang yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Bukankah adanya kepercayaan sifat rububiyyah (ketuhanan) dan melayakkan peribadatan kepada selain Allah; sama ada kepada nabi, malaikat atau wali adalah perbuatan syirik dan kufur; tidak boleh dilakukan tanpa mengira sama ada ketika hidupnya di dunia atau di akhirat? Adakah kita pernah mendengar seseorang berkata: Sesungguhnya mengi’tiqadkan sifat rububiyyah kepada selain Allah, adalah harus jika ia masih hidup, tetapi syirik jika ia telah mati?!

Maka ketahuilah bahawa menjadikan insan yang dimuliakan sebagai wasilah kepada Allah bukan bermakna menyembah wasilah tersebut kecuali apabila dia mengi’tiqadkan bahawa wasilah itu adalah Tuhan sebagaimana keyakinan penyembah-penyembah berhala terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Apabila orang yang bertawassul tidak ada keyakinan sedemikian, maka dia melakukannya kerana diperintahkan oleh Allah supaya mengambil wasilah. Dari yang demikian, maka mengambil wasilah adalah suatu bentuk ibadah kepada Yang Memerintahkan perkara tersebut, iaitu Allah SWT.

Monday, March 14, 2011

Tawassul Dalam Bentuk Seruan

Tawassul Dalam Bentuk Seruan
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 15 Mac 2011

Ke arah kesimpulan bicara kita ke arah memurnikan kefahaman tentang Tawassul, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT. Sebahagiannya merupakan perbuatan para Sahabat RA. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.
Semboyan Perang “Wahai Muhammad!

Suatu contoh yang menarik ialah Tawassulnya tentera Muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah ialah: “Ya Muhammadaah!” (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).

Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid RA membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya. Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, “Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera ‘Aamir dan Zaid.” Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, “Ya Muhammadaah!” (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324). Jelas dari peristiwa ini bahawa para Sahabat tidak merasa kekok untuk menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut. Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.

Menyeru Nama Nabi SAW Untuk Berubat

Daripada al-Haitham ibn al-Khannas berkata: Pada suatu hari, ketika kami bersama Abdullah ibn Umar RA, kakinya terasa kejang. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya, “Sebutlah nama manusia yang paling kamu kasihi.” Maka dia menyebut, “Wahai Muhammad!” Maka kekejangan kakinya pun sembuh.
Dalam satu riwayat daripada Mujahid: Pada suatu hari kaki seorang lelaki menjadi kebas ketika sedang bersama Ibnu Abbas RA. Maka Ibnu Abbas RA berkata kepadanya, “Sebutlah nama orang yang paling kamu kasihi.” Maka dia berkata, “Muhammad.” Rasa kebas kakinya tiba-tiba hilang. (Kisah ini ada di sebut oleh Ibnu Taymiyyah dalam al-Kalim al-Toyyib, bahagian 47, H: 165) Maka ini juga adalah tawassul dalam bentuk seruan.

Seruan Kepada Selain Nabi SAW

Daripada Utbah ibn Ghazwan daripada Nabi Allah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu kehilangan sesuatu, atau inginkan pertolongan, sedangkan ketika itu dia berada di tanah (kawasan) yang tiada berpenghuni, maka hendaklah dia mengucapkan, “Wahai hamba Allah! Bantulah aku.” Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang tidak dapat kita lihat.” Amalan tawassul ini didapati mujarab.(Riwayat al-Tabrani, sebahagian rijalnya dhaif).

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa malaikat di bumi selain malaikat Hafazah yang ditugaskan mencatat daun pokok yang gugur. Maka apabila seseorang kamu berdepan dengan kesulitan di kawasan bukit tinggi di padang sahara, hendaklah berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Bantulah aku” (Riwayat al-Tabrani, rijalnya thiqah).

Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: Sabda Rasulullah SAW : ِ"Apabila binatang peliharaan kamu terlepas di tanah lapang, maka hendaklah kamu berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia. Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia”, kerana Allah mempunyai makhluk yang hadir di muka bumi yang akan menahannya.”(Abu Ya`la dan al-Tabrani) Walaupun ada kelemahan dalam sanad sebahagian hadis-hadis ini, tetapi ia saling sokong menyokong.

Nabi SAW Berdoa dengan Seruan

Nabi SAW juga pernah bertawassul dalam bentuk seruan. Dinyatakan di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW berdoa selepas solat Fajar dua raka’at: “Ya Allah! Wahai Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad! Aku berlindung denganMu daripada api neraka.”

Al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al Sunni, telah berkata al Hafiz setelah mentakhrijnya: Ia adalah hadith hasan. (Ibnu Allan, Syarah al-Azkar, Jilid 2 H: 139)

Pengkhususan sebutan mereka dalam erti kata bertawassul dengan mereka, seolah-olah Baginda SAW bersabda, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan Jibril, Israfil….hingga akhirnya.
Ibnu ‘Allan telah mengisyaratkan kepada makna ini di dalam syarahnya, dengan katanya: Bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan qudrat ruh-ruh yang hebat ini; yang dikaitkan dengan kehidupan; mempunyai kesan yang besar kepada terhasilnya hajat-hajat dan tercapainya keinginan-keinginan yang penting. Begitu juga penjelasan Ibnu ‘Allan di dalam Syarh al Azkar, tentang pensyariatan tawassul, beliau berkata sebagai memberikan komentar terhadap hadith,

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan kemuliaan orang-orang yang memohon.”

Di dalam hadith ini terdapat keharusan bertawassul dengan kemuliaan orang-orang yang mulia secara umum dari kalangan orang-orang yang meminta (kepada Allah), dan juga orang-orang yang seperti mereka, lebih-lebih lagi lah para Nabi dan juga Rasul. Maka bolehlah disimpulkan bahawa bertawassul dalam bentuk menyeru nama Nabi SAW atau orang-orang yang disepakati kemuliaan mereka disisi Allah SWT adalah dibolehkan dalam Islam. Tinggal lagi perbuatan ini haruslah disertai dengan keyakinan yang murni bahawa pada tahap yang sebenar, kuasa membantu dan menolong seseorang hanyalah milik Allah SWT.