Tuesday, April 27, 2010

Tajdid : Antara Hakikat dan Dakwaan (EDISI PENUH)

Tajdid : Antara Hakikat dan Dakwaan
(Edisi Penuh)
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Di dalam dua tulisan yang lepas, kita telah cuba menjelaskan tentang falsafah dan kerangka sebenar Tajdid atau pembaharuan. Tajdid dan para Mujaddid, iaitu mereka yang memikul amanah tugas ini, adalah sangat mulia dan terpuji kedudukannya dalam Islam jika betul fahamnya dan kena tempatnya. Dengan penjelasan itu adalah diharapkan agar kita akan lebih mudah membezakan antara yang Tajdid hakiki dan yang sekadar dakwaan. Memang ada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai penggerak Tajdid sedangkan Tajdid yang hakiki tiada kena mengena dengan apa yang mereka gerakkan. Bak kata pepatah Arab, “Mereka semua mendakwa sebagai kekasih Laila sedangkan Laila jauh daripada semua dakwaan itu!”. Tanpa kerangka faham yang betul, orang awam sukar hendak membezakan antara yang hakiki dan yang dakwaan kerana kedua-duanya menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam hujjah mereka. Kadang-kadang ayat dan hadis yang sama yang dipetik walaupun berlainan syarahnya. Pepatah mengenai Laila di atas pun biasa dipetik oleh Mujaddid dakwaan untuk menyerang mereka yang tidak sefahaman!

Oleh itu untuk keselamatan agama mereka, sangat penting bagi masyarakat awam berpegang dengan petua untuk membezakan antara Tajdid Hakiki dan Dakwaan. Antara petuanya yang utama adalah dengan memeriksa apa yang jadi sasaran Tajdid seseorang atau sesuatu aliran. Apakah yang mahu ditajdidkan itu ajaran dan prinsip Islam itu sendiri atau fikrah dan sikap orang, masyarakat, negara dan Umat Islam. Kita tegaskan lagi bahawa prinsip dan ajaran Islam itu tidak perlu lagi ditajdid terutamanya oleh kita yang bukannya berada dikurun-kurun awal Islam. Para Mujaddid hakiki daripada generasi terawal pun bukannya mengubah isi dan hakikat Islam itu tetapi sebaliknya sekadar menyusun, memperkemaskan istilah, menghuraikan ajaran Islam. Segalanya tidak lari dari kerangka dan isi asal Islam. Selebihnya mereka berperanan memurnikan kefahaman dan penghayatan umat di zaman mereka terhadap ajaran dan prinsip Islam. Hari ini, Tajdid yang boleh dibenarkan terhadap ajaran Islam sepatutnya terbatas terhadap usaha memperelokkan penjelasan dan persembahannya, agar jelas keterkaitannya dan kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Orang, masyarakat dan Umat Islam itu sendiri sering lalai dan lupa. Ramai yang tidak menghayati. memahami dan mengamalkan Islam sama ada kerana kejahilan, kedegilan atau kelalaian. Maka tugas utama para Mujaddid zaman ini adalah mendidik yang jahil, mengingatkan yang lalai manakala yang degil perlu dicegah dan diajar. Mujaddid hakiki tidak sepatutnya lebih mengelirukan mereka yang jahil dan lalai dengan fahaman dan persoalan rantingan yang hakikatnya tidak menambah atau mengurangkan keimanan dan ketaqwaan mereka. Tidak sepatutnya menyibukkan diri dan orang lain untuk mengulangkaji, mempertikaikan dan merombak apa yang sudah baku dan muktabar dalam ajaran Islam. Mereka yang lalai dan degil pula perlu didakwah dengan akhlak Nabawi. Kalau ada yang terus berdegil menggunakan undang-undang dan kuasa yang adalah sebahagian daripada akhlak Nabawi dalam menanganinya.

Amal Bakti Mujaddid Silam

Sebagai tolok perbandingan dan piawai Tajdid hakiki, marilah kita soroti amal bakti tokoh-tokoh Mujaddid silam yang disepakati oleh majoriti umat.

Di kurun pertama, Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61-101H) telah muncul sebagai model yang hidup ketaqwaan, keikhlasan, amanah dan zuhud, setelah nilai-nilai ini dikelabui pemerintahan sebelum beliau. Beliau turut memurnikan kembali fahaman dan aqidah umat antaranya dengan menghentikan amalan menghina dan merendahkan Saidina Ali dan Ahlul Bayt termasuk dalam khutbah-khutbah. Beliau juga mengasaskan dan menggalakkan usaha menghimpunkan hadis-hadis Nabi SAW. Zaman beliau turut dicorakkan kehadiran tokoh-tokoh ulama Tabiin seperti Imam al-Hasan al-Basri (21-101H) yang muncul sebagai antara penjaga aqidah dan akhlak umat serta merupakan antara Imam pengasas cabang ilmu akhlak dan keruhanian tasawwuf dalam Islam.

Zaman berikutnya, menyaksikan kemunculan Imam-imam Mazhab fiqh, Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (94-179H), Imam al-Shafi`I (150-204H), Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H), yang akhirnya mengasaskan sistem Shariah dan hukum-hakam yang tersusun dan kemas. Suatu struktur fiqh yang bersifat kepelbagaian dalam kesatuan yang harmoni.

Apabila umat Islam diuji dengan pelbagai fahaman dan aqidah yang menyesatkan, muncullah Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari (260-324H) memurnikan fahaman dan menyusun kaedah-kaedah Aqidah Islam. Tugas yang hampir sama ditunaikan kemudiannya dengan penuh amanah oleh al-Imam al-Ghazali (450-505H) yang turut meninggalkan sumbangan penting dalam perkembangan cabang-cabang ilmu Tasawwuf, Usul al-Fiqh dan Fiqh. Di era yang sama muncul tokoh keruhanian tasawwuf-tarikat, Syeikh `Abd Qadir al-Jilani (470-561H) yang menyambung usaha Imam al-Ghazali di bidang ini dan menyusun pendekatan keruhanian yang lebih khusus. Kesan dan keberkatan usaha pemurnian Aqidah-Shariah-Akhlak generasi al-Ghazali dan al-Jilani ini akhirnya memungkinkan kemunculan Mujaddid Mujahid, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H)dan generasinya yang telah berjaya mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat islam.

Jika diteliti dengan insaf, amal-bakti para tokoh Mujaddid silam ini adalah semuanya bersumberkan acuan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya berkhidmat menghuraikan, menyusun dan memperkembangkannya lagi agar lebih mudah dihayati dan diamalkan oleh Umat. Usaha mereka jelas bersifat suatu kesinambungan atas warisan generasi sebelumnya dan bukannya membina sesudah meruntuhkan warisan yang ada. Juga dapat diperhatikan bahawa para Mujaddid ini berjalan atas jalan rahmat dan kasih sayang sesama Islam tetapi tegas terhadap para Kuffar dan kekufuran serta ajaran yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Gerakan Pendakwa Mujaddid

Berbanding dengan warisan para Mujaddid silam, kita lihat ada tokoh dan gerakan yang mendakwa Tajdid hakikatnya membawa fahaman yang ganjil dan bertentangan dengan asas Quran dan Sunnah yang diperjuangkan oleh warisan para Mujaddid silam. Oleh sebab itu, mereka terpaksa berusaha terlebih dahulu untuk meruntuhkan warisan para Mujaddid silam agar barulah fahaman mereka dapat dibina di atas runtuhan itu. Maka kita perhatikan gerakan ‘Tajdid’ mereka penuh dengan mesej yang mempertikaikan dan menimbulkan keraguan terhadap warisan para Mujaddid silam.

Jika para Mujaddid silam menumpukan kepada persoalan yang lebih mustahak dan membina, para pendakwa Tajdid masih berkeras mahu mentajdidkan fahaman terhadap persoalan Bid`ah dan Khilafiyyah dalam Islam. Berkeras mempertikaikan kemurnian aqidah dan kesahihan amalan majoriti umat Islam.

Kita bukannya mahu mempertikaikan niat dan semangat mereka, tetapi niat dan semangat tinggi tanpa panduan ilmu yang benarlah yang telah mendorong puak Khawarij berkeras menentang Saidina Ali dan majoriti umat di zamannya. Dalam kita memperjuangkan agama, kita semua juga harus sentiasa mewaspadai datangnya penyakit hati seperti `ujub, takabbur dan hubbul jah dan hubbul riyasah (sukakan kedudukan dan pangkat). Penyakit-penyakit hati ini menjadi fokus ilmu tasawwuf tetapi masalahnya, para pendakwa Tajdid ini rata-rata cenderung anti atau meminggirkan tasawwuf!

Kita menasihatkan masyarakat awam agar amat berhati-hati dengan mereka yang mendakwa Tajdid di kalangan kita. Perhatikanlah betul-betul apa isu-isu yang diperjuangkan. Analisalah sikap mereka terhadap warisan ilmu para Mujaddid silam. Istikharahkanlah dan syurakanlah dengan orang-orang yang lebih mengkhusus dan lebih berpengalaman. Janganlah mudah menerima momokan dan ditakutkan dengan ‘hantu’ tarikat, tasawwuf, taklid buta, taasub mazhab, bid`ah, khurafat dan sebagainya. Kajilah dengan insaf dan teliti hakikat dan makna sebenar kalimah-kalimah ini menurut fahaman arus perdana dalam Islam. Janganlah ketika kononnya hendak membuka dan memerdekakan minda beragama saudara, sebenarnya minda saudara telah cuba dikunci dengan momokan-momokan ini!

Semoga Allah memperkenalkan kepada kita para Mujaddidnya yang sebenar sama ada yang lepas atau yang sezaman dengan kita. Kita isytiharkan bahawa kita sangat mengasihi mereka kerana yakin bahawa Allah SWT turut mengasihi mereka. Kita mengasihi dan menghargai mereka sebagai penghulu dan bapa-bapa kita dalam agama. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama dengan para Mujaddidnya di dunia dan di akhirat.




No comments:

Post a Comment