Monday, April 18, 2011

Para Sahabat Memohon Syafa`at Nabi SAW

Para Sahabat Memohon Syafa`at Nabi SAW
oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 19 April 2011

Kita berada di awal-awal perbincangan tentang Syafa`at iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi suatu isu disisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain Allah SWT. Isu ini bukan sengaja diada-adakan. Kami sendiri pernah mengalami bagaimana ketika bercakap dalam satu majlis bersama para pelajar pengajian Islam di sebuah negara semenanjung Arab, seorang pelajar menegur tegas apabila terdengar ada kata-kata kami yang berunsur memohon Syafa`at Nabi SAW.

Mari kita lihat bagaimana sikap para Sahabat RA dalam hal ini. Jelas dan thabit, terdapat hadith yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW, dan Baginda SAW tidak pernah mengatakan: “Bahawa meminta syafa’at daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyengutukan Tuhan kamu dengan sesuatu.”

Sebagai contoh, Anas ibn Malik RA pernah berkata: “Wahai Nabi Allah! Syafa’atkanlah aku pada hari Kiamat.” Maka Rasulullah S bersabda, “Aku akan melakukannya.” (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah) Sawaad ibn Qaarib RA juga pernah berkata di hadapan Rasulullah SAW: “Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib;Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!” Hingga dia juga mengatakan:“Maka jadilah engkau pemberi syafa’at bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafa’at, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib.” (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibn `Abd al-Barr, dan Ibn Hajar dalam Fathul Bari)

Rasulullah SAW memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafa’at daripadanya.

Sahabat lain yang pernah memohon syafa’at daripada Baginda S ialah Mazin ibn al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: “Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari ‘Uman ke ‘Araj; Agar engkau dapat mensyafa’atkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan.”(riwayat Abu Nu`aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms:77)

‘Ukkasyah ibn Mihsan RA juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW. Ketika Baginda SAW menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab, ‘Ukkasyah berkata, “Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu.” Rasulullah SAW terus bersabda, “Engkau termasuk di kalangan mereka.”

Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafa’at atau ditolong oleh Rasulullah SAW melalui Syafa’at Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah thabit dengan jelas dalam beberapa hadith mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafa’at.

Riwayat seperti ini banyak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang mulia. Semua hadith tersebut menunjukkan keharusan memohon syafa’at daripada Rasulullah SAW semasa di dunia. Di antara mereka, ialah sahabat yang memohon dengan menentukan permohonannya, “Berilah aku Syafa’at!” Ada yang memohon supaya dapat masuk syurga, atau memohon termasuk dari kalangan orang-orang yang dahulu masuk syurga, atau memohon supaya dapat meminum air telaga Kauthar, atau dapat menjadi teman Baginda SAW di dalam syurga sebagaimana yang dikecapi oleh Rabi’ah al Aslami RA yang pernah berkata, “Aku memohon kepadamu supaya aku dapat menemanimu di syurga!” Lalu Rasulullah SAW menunjukkannya jalan untuk mencapai cita-citanya itu. Rasulullah SAW bersabda, “Bantulah aku untuk (menyempurnakan hajat)mu itu dengan memperbanyakkan sujud.”

Baginda SAW tidak pernah bersabda kepadanya atau kepada sahabat yang memohon masuk syurga, atau memohon dapat bersama Baginda SAW, atau bercita-cita menjadi ahli syurga, atau memohon dapat meminum air telaga Kauthar, atau tergolong di kalangan orang yang mendapat keampunan, “Sesungguhnya permohonan seperti ini adalah haram dan ia tidak boleh diminta sekarang, kerana waktunya belum tiba, dan tunggulah hingga Allah mengizinkan aku untuk memberi syafa’at, atau memasukkan seseorang ke dalam syurga, atau untuk memberi minuman dari Telaga al Kauthar.” Padahal, sebenarnya semua yang diminta oleh para Sahabat RA itu hanya akan terjadi setelah adanya Syafa’at Terbesar.

Dengan demikian, jelaslah bahawa apa yang mereka minta itu ialah meminta Syafa’at. Nabi Muhammad SAW menggembirakan mereka dengan perkara tersebut dan menjanjikan mereka dengan apa yang menyedapkan hati dan menyejukkan mata mereka. Mustahil jika perkara tersebut suatu perkara yang dilarang, kemudian tidak dijelaskan kepada mereka hukumnya kerana bersikap manis di mulut sahaja atau berputar belit. Rasulullah SAW tidak sekali-kali bersikap penakut atau takut cacian dalam prinsipnya menegakkan kebenaran. Baginda SAW menyambut permohonan mereka dengan meriangkan hati mereka dan menjanjikan perlaksanaannya itu sesuai dengan tuntutan kebenaran dan berasaskan dari asal-usul agama, serta sangat jauh dari segala kebatilan dan kemunafiqan.

Apabila telah sah memohon Syafa’at daripada Rasulullah SAW di dunia, sebelum di akhirat, bererti, Syafa’at yang diminta daripadanya di dunia, benar-benar akan diperolehi apabila tiba waktunya nanti, iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan para pemberi Syafa’at untuk memberikan Syafa’at mereka. Bukan bererti orang yang memohon Syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW ketika di dunia akan menerimanya sebelum sampai masanya.

Permasalahan ini sebenarnya sama seperti khabar gembira daripada Rasulullah SAW tentang syurga yang dijanjikan kepada kebanyakan orang Mukmin. Maknanya, mereka akan masuk syurga dengan sebenar-benarnya pada masanya iaitu hari Kiamat, dan setelah Allah SWT mengizinkan mereka memasukinya pada waktu yang telah ditentukan. Bukan bererti bahawa mereka akan memasuki syurga di dunia, atau di alam barzakh. Kita percaya bahawa tiada di sana terdapat umat Islam awam yang berakal mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang bercanggah dari itu.

No comments:

Post a Comment