Tuesday, June 8, 2010

Tasauf bercanggah dengan sunnah?

Utusan Malaysia, 8 Jun 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA menyambung bicara kita tentang tasauf dengan menyentuh suatu tohmahan dan salah tanggapan bahawa ia tidak harmoni dengan sunnah.

Akibatnya muncul satu pola pertentangan dalam aliran-aliran Islam semasa antara sufi dan hadis. Ini sebenarnya adalah suatu gambaran yang tersasar.

Dasar pengambilan tasauf adalah al-Quran dan sunnah. Ilham-ilham dan ilmu-ilmu yang dibukakan bagi ahli-ahlinya tasauf yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Tidak dinamakan tasauf jika ia menyanggahi perlembagaan terbesar Islam ini. Kelahiran tasauf itu sendiri seiring degan Islam.

Cuma, pada zaman di mana setiap peringkat masyarakat mula menjuruskan pandangan terhadap dunia, wujud golongan yang menyusun tasauf dengan meletakkan istilah-istilah tertentu kepada ilmu ini.

Tidak dinafikan timbul pula segolongan yang menggunakan tasauf untuk kepentingan peribadi. Mereka membawa gejala-gejala negatif ke dalam tasauf sehingga mendatangkan fitnah dan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap tasauf. Sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap konsep tasauf yang tulen.

Alhamdulillah, sebagai cabang ilmu asasi dalam Islam, tasauf tetap dipelihara oleh Allah SWT dengan tampilnya golongan yang berusaha sedaya upaya mempertahankan ketulenannya seperti Imam Abdul Wahhab al Sya'rani r.a yang mengarang kitab Tanbih al Mughtarrin dan Imam al-Qusyairi r.a yang mengarang kitab Risalah al Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasawwuf.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh seperti Sheikh Abdul Halim Mahmud, mantan Sheikh al-Azhar, Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim, Sheikh Abdullah Siddiq al-Ghumari dan lain-lainnya yang cemerlang dalam mempertahankan kemurnian tasauf.

Juga tidak ketinggalan, tokoh ulama Mekah Ahlus Sunnah zaman mutakhir ini, al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani.

Beliau memerhatikan bahawa tasauf sengaja diberi imej yang buruk oleh sesetengah orang.

Beliau berkata: "Sesungguhnya tasauf telah teraniaya, ditohmah dan dipandang serong. Tidak ramai yang memandangnya dengan pandangan yang tepat dan betul.

"Sebahagian besar ahli masyarakat melabelkan tasauf dan sufi dengan sifat-sifat yang tercela dan keji sehingga menjatuhkan hak penyaksian dan keadilan seseorang ahli tasauf.

"Mereka berkata 'si fulan tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima khabarnya' kenapa? Kerana dia adalah seorang sufi.

"Namun demikian, apa yang menghairankan, orang-orang yang begitu lancang mencaci tasauf dan menentang ahli sufi ini, mengutip kata-kata dan perbuatan ahli sufi untuk dijadikan bahan dalam teks ucapan dan pengajaran mereka.

"Mereka seolah-olah tidak berasa malu meminjam kata-kata imam-imam sufi ini untuk digunapakai dalam khutbah-khutbah dan majlis-majlis pengajian mereka.

"Kita seringkali mendengar mereka mengucapkan 'telah berkata al Fudhail ibn 'Iyadh r.a, telah berkata Junaid al-Baghdadi r.a, telah berkata Hasan al-Basri r.a, telah berkata Sahl al-Tasturi r.a, telah berkata al-Muhasibi r.a, telah berkata Bisyr al-Hafi r.a' dan sebagainya.

"Adakah mereka tidak kenal siapakah insan yang meniti di bibir-bibir mereka? Nama-nama ulama yang mereka sebut merupakan pemuka-pemuka tasauf yang tidak asing lagi. Malah, ulama inilah yang telah menyusun kaedah-kaedah ilmu tasauf dan telah mencapai kedudukan sebagai wali qutub (pangkat tertinggi wali-wali).

"Kitab-kitab tasauf juga dipenuhi dengan kata-kata mereka, khabar-khabar dan biografi mereka. Tidak dapat dipastikan, sama ada orang yang mentohmah ahli tasauf ini benar-benar orang yang jahil atau pun buat-buat jahil? Atau pun, mereka ini buta atau buat-buat buta?" (Mafahim Yajibu an Tusohhah, H: 107)

No comments:

Post a Comment