Monday, July 5, 2010

Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan

Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan
5 Julai 2010

Kefahaman dan ilmu yang ada di dalam diri seseorang dan menjadi pegangannya adalah faktor utama yang menentukan keperibadiannya dan kehidupannya. Jika kotak minda dan lubuk hatinya dipenuhi oleh kefahaman yang benar lagi mulia maka orang tersebut akan muncul sebagai peribadi yang besar dan mulia. Sebaliknya, jika kefahaman yang salah, sempit lagi menyeleweng yang bersarang dalam dirinya, maka sukarlah untuk beliau muncul sebagai individu yang membawa kebaikan dan kesejahteraan.

Begitu jugalah keadaannya dengan kefahaman agama. Bukan semua kefahaman agama yang tersebar dan dipegang orang itu betul dan benar. Itulah yang mendorong para ulama yang mewarisi tugas para Nabi-nabi untuk gigih memperbetulkan kefahaman agama umat Islam melalui lisan dan tulisan mereka.

Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT, di zaman yang mutakhir ini, telah muncul suatu karya yang hebat hasil tulisan seorang tokoh ulama yang hebat berkenaan dengan tema ini yang dapat kita jadikan rujukan dan panduan. Karya yang kita maksudkan adalah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki. Dengan izin dan inayah Allah SWT, isi kitab inilah yang akan kami olahkan sebagai pengisian ruang ini dalam minggu-minggu yang mendatang.

Mengenali Kitab dan Pengarangnya

Seorang yang bijak dalam agamanya akan berusaha mengenali latar belakang pengarang dan buku yang mahu dibacanya kerana membaca sesuatu bacaan bererti kita membuka diri kita untuk dipengaruhi oleh bahan bacaan tersebut. Maka seharusnyalah kita memilih untuk membaca tulisan daripada tokoh-tokoh yang kita yakini agama mereka berdasarkan neraca nilaian agama. Demikian juga, jika kita perlu membaca tulisan-tulisan mereka yang kontroversial dan dipertikaikan kewibawaannya maka kita akan membacanya dengan lebih berhati-hati dan penuh sedar tentang latar belakang tokohnya.

Berkenalan dengan kitab dan pengarang pilihan kita ini, kita akan dapati banyak faktor-faktor yang dapat menimbulkan keyakinan yang tinggi untuk kita memanfaatkan isinya. Tidak tersasar jika dikatakan bahawa pengarangnya, al-Allamah al-Muhaddith Prof.Dr. Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki al-Hasani adalah antara tokoh ulama terbesar yang lahir di zaman mutakhir ini kerana terhimpun padanya beberapa keistimewaan yang jarang terhimpun pada seorang tokoh. Beliau lahir di Bab al-Salam, Mekah pada tahun 1369 Hijri (1942M) dari satu keluarga alim-ulama berketurunan paling mulia, keturunan Nabi kita SAW dari sebelah Saidina Hassan RA. Keluarga beliau adalah di kalangan ulama yang menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram, Mekah.

Oleh kerana beliau telah dikurniakan dengan kecerdasan minda dan hati yang tinggi, latar belakangnya ini telah berjaya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh beliau sehingga beliau telah mendapat pendidikan agama yang mendalam di tangan para ulama ulung di zamannya selain turut menamatkan pengajian secara rasmi hingga ke tahap tertinggi. Beliau telah mendapat ijazah doktor falsafah di bidang hadith daripada Universiti al-Azhar, Mesir dengan pangkat cemerlang ketika berusia 25 tahun. Kemudiannya, al-Azhar telah berkenan menganugerahkan gelaran Ustaziyah atau Professor Kehormat sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangannya dalam dunia kelimuwan dan dakwah. Semenjak muda, beliau telah diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram disamping pernah menjawat jawatan sebagai pensyarah universiti. Selain seorang tokoh pengajar dan pemidato, beliau juga seorang penulis yang hebat dan telah menghasilkan puluhan kitab dalam pelbagai bidang agama.

Setelah bertungkus lumus memerah otak dan tenaganya, mengorbankan segala jiwa dan raganya dan mengharungi pelbagai onak dan duri dalam menegakkan agama Allah yang tercinta, beliau akhirnya dijemput Ilahi dengan tenang pada waktu Sahur hari Jumaat 15 Ramadhan 1425 Hijrah bersamaan 29 Oktober 2004 Masihi. Pemergian pejuang agama yang tidak mengenal erti jemu dan penat ini, ditangisi oleh jutaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Pengiktirafan tinggi para ulama dunia Islam jelas kelihatan dalam rakaman takziah mereka kepada keluarga beliau dan umat Islam atas pemergian tokoh ini termasuklah Syeikhul Azhar, Syeikh Tantawi dan Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum`ah.

Keistimewaan Kitab Mafahim

Buku ini merupakan antara karya beliau yang paling dikenali dan tersebar luas. Keistimewaan dan keutamaan buku ini terbukti dengan puluhan muqaddimah perakuan dan pengiktirafan oleh para ulama dunia Islam yang diterima oleh buku ini. Di antara tokoh ulama yang telah menulis muqaddimah memuji buku ini termasuklah Syeikh Hasanain Makhluf, mantan Mufti Mesir, Syeikh Prof.Dr. Muhammad al-Toyyib al-Najjar, al-Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan Syeikhal-Allamah al-Mu’arrikh Syeikh Muhammad al-Khazraji. Apa yang menarik, para ulama ini mencangkupi pelbagai pelusuk dunia Islam termasuklah benua India-Pakistan dan Asia. Ini tidaklah menghairankan jika mengambil-kiran bahawa pengarangnya memang seorang yang telah luas perjalanannya ke seluruh dunia Islam baik ketika menuntut ilmu mahu ketika berdakwah dan mengajar. Apabila kita membaca pujian mereka terhadap buku ini kita akan mendapati bahawa ia adalah puji-pujian khusus dan tinggi dan bukan pujian biasa untuk sekadar memenuhi permintaan mana-mana pihak.

Rata-ratanya, kitab ini dianggap istimewa dan mustahak walaupun ia tidaklah terlalu tebal kerana ia telah berjaya memperbetulkan kekeliruan dan salah-faham terhadap pelbagai isu-isu dalaman agama yang agak rumit. Sebahagian isu ini sering ditimbulkan oleh kalangan umat Islam sendiri di tengah masyarakat sehingga boleh menimbulkan perselisihan dan merosakkan keharmonian sesama Islam. Oleh kerana isu-isu ini adalah isu-isu agama yang khusus dan ilmiyah, masyarakat awam yang sering turut diheret untuk membahaskannya mudah tersilap langkah dalam menanggapinya. Mereka mungkin mudah terikut dengan hujah dan pandangan sebelah pihak sahaja kerana tidak mampu untuk menimbangkan secara lebih mendalam dan meluas. Di sinilah buku ini begitu penting untuk memenuhi ruang kosong ini. Dengan meneliti isi buku ini pembacanya akan mampu membentuk kefahaman yang lebih tepat dan saksama terhadap pelbagai isu agama yang diperselisihkan di kalangan ulama ataupun umat.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu Perbahasan isu-isu Aqidah, Nabi dan yang ketiga meliputi pelbagai isu agama rencam. Dalam Bab Aqidah, antara isu dibahaskan adalah isu takfir, bid’ah, tawassul dan syafa`at. Bab Nabawiyyah atau ehwal berkaitan Nabi SAW pula mencangkupi isu-isu keistimewaan Nabi dan bertabarruk atau mengambil berkat serta persoalan-soalan berkaitannya. Bab ketiga mengandungi pelbagai perbahasan tanpa tema khusus termasuklah isu kehidupan alam barzakh dan menziarahi kubur dan kesan tinggalan serta sambutan hari-hari kebesaran Islam. Sedar ataupun tidak, isu-isu ini sering timbul dan ditimbulkan dari masa ke semasa. Oleh kerana isu-isu ini ada kaitan dengan pokok-pokok agama Islam perbahasan mengenainya tidak boleh dianggap ringan.

Marilah kita bersama di minggu-minggu yang mendatang, dengan izin dan inayah Ilahi, berkongsi warisan para ulama pewaris Nabi SAW dengan kita menelaah beberapa isi perbahasan dalam kitab ini. Semoga dengannya dapatlah kita memperbetulkan beberapa kefahaman agama kita yang memang wajib diperbetulkan. (Kitab terjemahan bertajuk “Kefahaman Yng Wajib Diperbetulkan” dan buku Biografi pengarangnya boleh didapati daripada Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

No comments:

Post a Comment