Tuesday, October 12, 2010

Bid`ah : Yang Baik dan Yang Buruk

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 12Oktober 2010


Alhamdulillah, dengin izinNya jua kita dapat menunaikan hasrat kita seperti yang dinyatakan di minggu lepas (dikeluarkan pada hari Rabu bukan Selasa kerana masalah teknikal) untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid `Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bid`ah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat termasuk para ulama hadith dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bid`ah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama Umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bid`ah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiyah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di sana di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama’ atau pakar ajaran Islam, telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama’ Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bid’ah. Pada pemahaman mereka, semua bid’ah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bid’ah yang ada.

Sedangkan, ruh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bid’ah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bid’ah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama’ usul dari kalangan ulama’ Salaf umat ini seperti Imam al ‘Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati meraka semua.

Memahami Hadith Tentang Bid`ah

Kaedah ilmu menetapkan bahawa hadith-hadith Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadith yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan ruh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadith, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam, serta disertai hati yang sensitif; yang pemahamannya berdasarkan lautan syari’at Islam, di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW; tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadith ini: “Setiap bid’ah adalah sesat.” Untuk memahami hadith seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bid’ah dalam hadith ini ialah bid’ah sayyi’ah, iaitu bid’ah yang salah dan menyesatkan; yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.
Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadith yang lain seperti hadith: ”Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid.”
Hadith di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadith-hadith lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadith tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, “tidak ada solat (fardhu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid”. Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama’ dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadith Rasulullah SAW ini: “Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang).” Maksudnya adalah, “tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang”.

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadith berikut: “Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” Iaitu dengan ertikata, “tidak sempurna Iman”.

Begitu juga hadith berikut: “Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna).” Ada yang bertanya, “Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda, “Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya.”
Demikian juga hadith-hadith ini: “Tidak masuk syurga pengadu domba.” “Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya.”

Menurut tafsiran ulama’, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama’ tidak memahami hadith tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadith bid’ah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadith lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bid’ah dalam hadith tersebut hanyalah bid’ah sayyi’ah; yakni bid’ah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok dari ajaran Islam; dan bukan semua bid’ah.

Cuba pula kita perhatikan hadith berikut: “Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat.” Juga hadith “Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk.” Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Tarawih (secara jamaah): “Sebaik-baik bid’ah adalah perbuatan ini.”
Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bid`ah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. InsyaAllah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dial ah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.


No comments:

Post a Comment