Monday, October 25, 2010

Pembahagian Bid’ah : Sudut Syara’ dan Bahasa

Pembahagian Bid’ah : Sudut Syara’ dan Bahasa
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN


Bid`ah tidak akan menjadi isu yang terlalu rumit dan bermasalah jika kita bersedia menerima pembahagian bid`ah kepada bid`ah hasanah(yang baik) dan bid`ah sayyi’ah (yang buruk). Malangnya sebahagian umat Islam mengkritik pembahagian bid’ah ini. Mereka begitu keras mengingkari setiap orang yang menerima dan memperkatakan tentang pembahagian bid’ah ini. Bahkan, ada di antara mereka yang menuduh fasiq dan sesat terhadap setiap orang yang mempunyai fahaman sedemikian. Menurut mereka, hal itu bersalahan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap bid’ah adalah sesat.”

Lafaz hadith ini adalah jelas merupakan lafaz yang umum maknanya dan jelas menyifatkan bid’ah itu sebagai suatu perkara yang sesat. Maka dari sini, kita melihat mereka berani mengatakan, “Apakah boleh dibenarkan atau diterima selepas sabda Rasulullah SAW ini yang menegaskan, “Bahawa setiap bid’ah itu sesat” tampilnya mana-mana mujtahid atau faqih yang setinggi manapun kedudukannya, lalu berpendapat, “Tidak! Tidak! Bukan semua bid’ah itu sesat, tetapi, sebahagiannya ada yang sesat, sebahagiannya lagi ada yang baik, dan yang buruk.”

Dengan kata-kata dan cara seperti inilah, ramai umat Islam yang tertipu. Mereka turut berteriak bersama-sama mereka yang mengingkari adanya bid`ah hasanah. Ternyata, kebanyakan mereka itu adalah orang-orang yang tidak memahami tujuan-tujuan atau maksud-maksud ajaran Islam (Maqasid Syari’ah) dan belum merasakan ruhnya.
Namun, tidak beberapa lama selepas itu pula, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi dan juga suasana kehidupan seharian mereka (yang penuh dengan perkara bid’ah pada anggapan mereka). Mereka terpaksa mencipta suatu penemuan dan pendekatan baru terhadap isu ini dengan menampilkan suatu definisi baru tentang bid’ah. Lalu muncullah kata-kata “Sesungguhnya bid’ah itu terbahagi kepada bid’ah diniyyah (berkaitan dengan agama) dan bid’ah dunyawiyyah (berhubungan dengan urusan-urusan duniawi).”

Maha Suci Allah! Orang yang suka bermain-main ini berani sekali membolehkan dirinya mencipta pembahagian seumpama ini. Atau, paling tidak, mencipta penamaan atau definisi baru mengenai bid’ah. Jika kita menerima bahawa pembahagian ini (secara maknawi) sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, sedangkan secara pasti penamaan ini (bid’ah diniyyah dan dunyawiyyah) tidak pernah wujud langsung pada zaman tasyri’ (pensyariatan), maka dari manakah klasifikasi seumpama ini lahir? Dan dari manakah penamaan yang bid’ah ini timbul?

Sesiapa yang mengatakan bahawa pembahagian bid’ah kepada hasanah dan sayyi’ah itu bukannya datang daripada syari’at, maka kami tegaskan kepada mereka: Begitu jugalah pembahagian bid’ah kepada bid’ah diniyyah yang tidak diterima dan bid’ah dunyawiyyah yang diterima; ia juga merupakan satu perbuatan bid’ah dan penemuan baru.
Rasulullah SAW menegaskan, “Setiap bid’ah itu sesat.” Sabda Nabi Muhammad SAW ini begitu mutlak; tidak mempunyai sebarang syarat. Manakala kamu pula berkata: Tidak! Bukanlah semua bid’ah itu sesat secara mutlak; tetapi bid’ah itu terbahagi kepada dua bahagian; bid’ah diniyyah; ia adalah sesat, dan bid’ah dunyawiyyah; ia adalah bid’ah yang tidak mempunyai apa-apa hukum di dalamnya.

Oleh yang demikian, perlu kami jelaskan di sini kedudukan sebenar isu bid’ah ini. Dengan cara ini, banyak kemusykilan akan tersingkap dan kesamaran akan lenyap, insya Allah.

Perlu diingat, sesungguhnya orang yang berbicara mengenai bid’ah ini ialah Nabi Muhammad SAW yang bijaksana. Lidahnya adalah lidah syara’. Maka perlu difahami kalamnya menurut timbangan syara’ yang dibawanya. Jika kamu telah mengetahui bahawa bid’ah menurut definisi asalnya ialah setiap sesuatu yang baru dan dicipta tanpa ada contohnya, maka jangan pula kamu lupa bahawa penambahan atau penemuan baru yang tercela di sini ialah penambahan dalam urusan agama supaya menjadi urusan agama, dan penambahan dalam masalah syari’at supaya menjadi suatu bentuk syari’at, maka ia menjadi suatu syari’at yang diikuti oleh umat Islam dengan disandarkan kepada pemilik syari’at iaitu Nabi Muhammad SAW. Inilah perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya dihindari sebagaimana sabdanya: “Sesiapa yang mengada-ngadakan dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka perbuatan itu ditolak.” Jadi, batasan pemisah dalam perkara ini ialah sabda Rasulullah SAW: (dalam urusan agama kami ini).

Atas dasar itu, maka pembahagian bid’ah kepada bid’ah hasanah dan sayyi’ah menurut pemahaman kami hanyalah pembahagian menurut etimologis atau lughawi (bahasa). Sebenarnya yang dikategorikan sebagai bid`ah hasanah itu bukanlah bid`ah hakiki. Ia sekadar suatu ciptaan dan perkara baru yang tidak bercanggah dengan syara’. Kita semua tidak merasa ragu, bahawa istilah bid’ah dengan pengertian syara’ adalah sesuatu yang menyesatkan, fitnah yang tercela, ditolak dan dimurkai. Jika mereka yang mengingkari pendapat kami dapat memahami makna ini, nescaya akan terlihatlah bagi mereka bahawa titik penyatuan semakin hampir, manakala medan pertelingkahan dan pertentangan semakin jauh.

Untuk lebih mendekatkan lagi kefahaman-kefahaman ini, saya berpandangan bahawa orang yang mengingkari pembahagian bid’ah ini, hanya mengingkari pembahagian bid’ah syar’iyyah berdalilkan perbuatan mereka membahagikan bid’ah kepada bid’ah diniyyah dan bid’ah dunyawiyyah. Bahkan, mereka menganggap pembahagian bid’ah seperti ini adalah penting. Sementara itu, orang yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah hasanah dan bid’ah sayyi’ah pula berpandangan bahawa pembahagian ini hanya berdasarkan bid’ah lughawi, kerana mereka juga tetap berpendirian, “Sesungguhnya penambahan dalam agama dan syari’at Islam itu merupakan suatu kesesatan dan kejahatan yang besar.” Dengan demikian, perbezaan yang terjadi antara umat Islam berkenaan dengan permasalahan bid’ah itu hanya dalam permasalahan syakl atau bentuk luaran, bukan persoalan asas (dalaman).

Sebenarnya saudara-saudara kita yang mengingkari pembahagian bid’ah kepada hasanah dan sayyi’ah, dan mengatakan pembahagiannya kepada diniyyah dan dunyawiyyah, telah tidak cermat dan tidak teliti dalam mengungkapkan apa yang mereka fahami dan yakini. Ketika mereka menghukum bahawa bid’ah diniyyah (dalam urusan agama itu) itu adalah sesat - ini sememangnya benar - dan bid’ah dunyawiyyah (dalam urusan dunia) itu tidak apa-apa, sebenarnya mereka telah melakukan kesalahan dalam menetapkan hukum, kerana dengan demikian bererti mereka telah menghukum semua bid’ah dalam urusan dunia adalah harus. Ini Sepatutnya mereka mengatakan, “Sesungguhnya bid’ah dunyawiyyah itu ada yang baik dan ada pula yang buruk”, sebagaimana realiti kehidupan yang dapat disaksikan dan tidak akan diingkari oleh sesiapapun, kecuali oleh mereka yang buta dan jahil.

Penambahan ini amat perlu demi maksud yang lebih tepat. Maka selarilah dan cukuplah kita mengikut pendapat yang mengatakan, bid’ah itu terbahagi kepada hasanah dan sayyi’ah. Kita juga telah sedia maklum, bahawa yang dimaksudkan dengan pembahagian ini pun hanya dari sudut bahasa dan ia juga telah dianggap oleh orang yang mengingkarinya sebagai bid’ah dunyawiyyah. Pendapat inilah yang didapati paling teliti dan sangat berhati-hati. Pendapat ini mengajak kepada sikap berhati-hati dalam memberi tindakbalas terhadap setiap urusan (duniawi) yang baru, juga menyelaraskannya dengan hukum syari’at Islam dan kaedah-kaedah agama. Pendapat ini melazimkan umat Islam menyesuaikan dan menimbang setiap perkara yang baru dari urusan dunia mereka sama ada yang bersifat umum, mahupun khusus dengan syari’at Islam. Dengan cara demikian, akan terlihat dengan jelas hukum Islam dalam hal-hal duniawi yang baru tersebut walau bagaimana keadaannya sekalipun bid’ah itu. Perkara ini tidak dapat dilaksanakan kecuali melalui pembahagian yang cukup unik dan mu’tabar di sisi para imam usul (fiqh). Semoga Allah SWT melimpahkan keredhaanNya kepada ulama’ Usul Fiqh yang telah merumus dan menulis lafaz-lafaz yang sohih, komprehensif dan memenuhi tuntutan makna yang selamat, tanpa ada kekurangan, penyimpangan atau pun takwilan.


No comments:

Post a Comment