Tuesday, May 31, 2011

Meminta Sesuatu Yang Mustahil

Meminta Sesuatu Yang Mustahil

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 31 Jun 2011


Di antara dakwaan batil yang dipegang oleh orang-orang yang suka mengkafirkan orang yang bertawassul atau meminta dengan Nabi SAW ialah: “Ramai manusia sering meminta kepada para nabi dan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, sesuatu yang di luar kekuasan mereka dan hanya mampu dilaksanakan oleh Allah. Meminta seperti yang demikian itu adalah perbuatan syirik.”

Jawab kita, dakwaan seperti ini hanya merupakan salah faham sebahagian umat Islam sejak zaman dahulu hingga sekarang. Sebenarnya, orang-orang yang meminta daripada Nabi atau orang-orang soleh itu hanya menjadikan mereka sebagai sebab, wasilah, atau perantara bagi mendapatkan apa yang mereka pinta daripada Allah SWT. Mereka berharap Allah menunaikan permintaan mereka disebabkan syafa’at, doa dan permohonan mereka kepada Allah SWT sebagaimana terkabulnya permohonan orang buta dan orang-orang lain yang datang kepada Nabi Muhammad SAW memohon, meminta tolong dan bertawassul dengannya kepada Allah SWT. Ternyata, Nabi SAW telah dapat memenuhi permohonan mereka dan merealisasikan keinginan mereka dengan izin Allah. Namun, Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengatakan walau kepada seorang pun daripada mereka, bahawa kamu telah menyengutukan Allah.

Baginda SAW juga dapat memenuhi setiap permohonan mereka dalam perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat seperti dapat menyembuhkan penyakit yang kronik tanpa menggunakan sebarang ubat. Baginda SAW juga pernah diminta supaya memohon diturunkan hujan, dan selepas itu hujan turun ketika mereka memerlukan tanpa ada awan. Bahkan, Nabi SAW juga dapat mengembalikan mata seorang sahabat yang telah terkeluar daripada kelopak matanya, memancarkan air daripada jari-jemarinya, memperbanyakkan makanan yang sedikit, dan perkara-perkara luar biasa lain yang berada di luar kemampuan seorang manusia, menurut kebiasaannya. Nabi SAW mengkabulkan permohonan mereka, dan tidak pernah berkata kepada mereka, “Sesungguhnya kamu sekalian telah menyekutukan Allah, maka perbaharuilah keIslaman kamu kerana kamu telah meminta daripadaku, apa yang tidak dapat aku lakukan kecuali Allah SWT.”

Jadi, apakah mereka yang mendakwa ini lebih mengetahui tentang tauhid dan perkara-perkara yang mengeluarkan seseorang dari tauhid, daripada Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya RA? Sikap mereka ini tidak akan diterima oleh orang jahil, apatah lagi orang alim.

Al-Quran yang mulia telah menceritakan tentang sabda Nabi Sulaiman AS kepada ahli majlisnya dari kalangan jin dan manusia: “Wahai pegawai-pegawaiku! Siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” (Al-Naml: 38)

Nabi Sulaiman AS meminta daripada ahli majlisnya, supaya mendatangkan singgahsana agung dari Yaman ke negeri Baginda AS, iaitu Syam (Bayt al-Maqdis) dengan cara yang luar biasa; agar kehebatan Nabi Sulaiman AS tersebut akan menjadi tanda kepada Ratu Balqis yang sedang diseru kepada keimanan.

Lalu Ifrit dari golongan jin berkata: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum kamu bangun dari tempat dudukmu (dalam beberapa saat sahaja).”(al-Naml:39)

Nabi Sulaiman AS bersabda pula, “Aku ingin lebih cepat daripada itu.” Maka berkatalah seseorang yang mempunyai ilmu tentang Kitab Allah (Taurat dan Zabur); dia seorang siddiq (yang kuat keimanannya) dari bangsa manusia: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata (sebelum mata Nabi Sulaiman AS dipejam semula setelah dibuka untuk melihat).”(al-Naml:40)

Nabi Sulaiman AS bersabda, “Itulah yang aku inginkan.” Lalu orang soleh itu pun berdoa. Tiba-tiba, singgahsana yang agung itu telah berada di hadapan Nabi Sulaiman AS. Membawa singgahsana dengan cara yang luar biasa seperti itu merupakan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh seseorang manusia kecuali Allah SWT. Bahkan, ia bukan sesuatu yang dapat dilakukan dengan kekuasaan manusia mahu pun jin menurut kebiasaannya. Tetapi Nabi Sulaiman AS telah memintanya daripada salah seorang ahli majlisnya. Maka, orang alim yang kuat keimanannya berkata, “Saya akan lakukannya.” Persoalannya, apakah Nabi Sulaiman AS telah melakukan kekufuran dengan permintaannya itu? Apakah si alim, atau wali Allah itu juga menjadi musyrik kerana memenuhi keinginan Nabi Sulaiman AS? Jauh sekali kedua-duanya daripada melakukan perkara seburuk itu. Penisbahan perbuatan kepada kedua-dua ungkapan itu (ungkapan Nabi Sulaiman AS dan orang alim tersebut) mengikut kaedah majaz ‘aqli (kiasan simbolik). Perkara seperti ini boleh saja terjadi, bahkan telah banyak terjadi.

Maka, penjelasan terhadap kesamaran ini, (jika kesamaran itu masih ada) ialah, apa yang sebenarnya diminta oleh sebahagian kaum Muslimin daripada para Nabi AS atau orang-orang soleh ialah menjadikan mereka sebagai perantaraan kepada Allah bagi mendapatkan keinginan dan hajatnya. Yang demikian itu, termasuk daripada perkara-perkara yang dikurniakan kuasa kepada mereka oleh Allah SWT. Maka orang yang mengatakan, “Wahai Nabi Allah! Sembuhkanlah aku, atau tolong lunaskanlah hutangku!”, sebenarnya bermaksud, “Bantulah aku dalam mengubati penyakit, berdoalah untukku agar dapat dilunaskan hutangku, hadapkanlah kepada Allah permasalahanku ini.” Jadi, mereka yang memohon bantuan kepada orang-orang soleh dan para nabi itu hanya memohon apa-apa yang dikuasakan dan dikurniakan oleh Allah kepada mereka untuk melakukannya, seperti mendoakan mereka dan menjadi perantaraan mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah.

Inilah yang kami yakini dan percayai terhadap orang-orang yang mengucapkan perkataan sedemikian dan atas keyakinan ini, kami mentaati Allah. Jadi, penisbahan atau penyandaran yang terdapat di dalam perkataan mereka itu sebenarnya merupakan majaz ‘aqli yang tidak membahayakan tauhid orang yang mengucapkannya, seperti firman Allah SWT:

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada yang ditumbuhkan oleh bumi...”(Yaasiin: 36). Begitu juga seperti yang disebut di dalam sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya apa yang tumbuh pada musim bunga daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan boleh membawa kematian atau kembung kepada haiwan.”

Terdapat banyak ungkapan yang mengandungi majaz ‘aqli; baik di dalam al-Quran, hadith Nabi , atau pun perkataan manusia yang khas dan awam. Ia tidak membahayakan kerana perkataan tersebut keluar daripada orang-orang yang mentauhidkan Allah; yang menjadi qarinah bagi apa yang mereka maksudkan. Tidak terdapat di dalam perkataan tersebut perkara-perkara yang menunjukkan sikap kurang baik atau tidak beradab. Kami telah menjelaskan secara terperinci mengenai hakikat permasalahan ini di dalam tulisan-tulisan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment