Tuesday, June 7, 2011

Memohon Kepada Selain Allah SWT

Memohon Kepada Selain Allah SWT
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 7 Jun 2011

Tahniah diucapkan kepada sekalian pembaca budiman atas kedatangan bulan Rejab yang mulia. Bulan Rejab adalah salah satu bulan suci dalam Islam dan istimewa antaranya kerana berlakunya peristiwa besar Isra’ dan Mi`raj dalam bulan ini. Kita digalakkan meningkatkan amalan kita sebagai persiapan kedatangan Sya`ban dan Ramadhan yang bakal menyusul. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Allah SWT kerana memperuntukkan keistimewaan hari-hari dan bulan-bulan tertentu yang mampu mengejutkan kita daripada hanya leka dengan rutin harian.

Menyambung bicara kita tentang Syafa`at, sepotong hadis yang berkaitan dengannya ialah: “Apabila kamu meminta pintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta tolong pohonlah kepada Allah.”(sebahagian hadith yang masyhur yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan disohihkannya daripada Ibnu Abbas RA secara marfu’)

Masalahnya, ramai umat manusia yang salah faham tentang hadith ini. Mereka memahami hadith ini dengan maksud, tidak boleh meminta dan juga memohon pertolongan secara mutlak walau dengan apa cara dan jalan sekalipun melainkan hanya kepada Allah. Justeru, mereka menganggap memohon dan meminta pertolongan kepada selain Allah adalah perbuatan syirik yang boleh mengeluarkan seseorang itu daripada agama. Fahaman dan anggapan sedemikian, akan menafikan pengambilan atau penggunaan sebab-musabbab dan meminta pertolongan dengan sebab-sebab tersebut serta bercanggah dengan nas-nas yang banyak mengenai perkara ini.

Hakikatnya, hadith yang mulia ini tidak bermaksud menegah atau melarang daripada memohon atau meminta tolong kepada selain Allah, sebagaimana yang difahami dari zahir lafaz hadith ini. Tetapi maksud hadith ini ialah melarang daripada lalai atau lupa bahawa walau bagaimana dan macamana pun kebaikan yang dilihat dimiliki oleh sebab-sebab itu, ia tetap daripada Allah. Bahkan, hadith ini juga mengandungi suruhan supaya beringat, bahawa apa pun juga nikmat (kebaikan) yang dimiliki atau dikuasai oleh makhluk, ia adalah daripada Allah dan diperolehi dengan pertolongan Allah.

Maknanya di sini, apabila kamu hendak meminta pertolongan kepada seseorang makhluk, dan ia sudah pasti kamu lakukan dalam kehidupan seharian, maka hendaklah menjadikan segala pergantungan dan pegangan kamu hanya kepada Allah. Jangan sekali-kali sebab-sebab itu menghalang kamu daripada melihat kepada Musabbibnya (Allah). Jangan pula kamu termasuk di kalangan orang-orang yang mengetahui apa yang zahir (nampak pada mata kasar sahaja) iaitu hubungan dan pergantungan di antara suatu perkara dengan suatu perkara tetapi kamu lupa terhadap yang menghubungkan di antara perkara-perkara tersebut (Allah).

Inilah makna yang ditunjuki oleh hadith ini. Yang demikian itu, sebagaimana yang disebut di dalam sabda Rasulullah SAW selepas sabda di atas: “Ketahuilah, bahawa sekiranya kesemua umat ini bersatu untuk memberikan kamu suatu manfaat, nescaya mereka tidak dapat memberikan kamu suatu manfaat pun melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu. Sekiranya mereka berhimpun untuk memudharatkan kamu, nescaya mereka tidak dapat memudharatkan kamu melainkan apa yang telah dicatat oleh Allah untuk kamu.”

Maka di sini, Rasulullah SAW menthabitkan manfaat dan mudharat bagi mereka sebagaimana yang kita lihat sesuai dengan apa yang telah dicatat oleh Allah bagi seseorang hamba itu sama ada manfaat atau mudharat. Maka dari sabda Nabi SAW ini menjelaskan maksudnya. Bagaimanakah kita boleh mengingkari atau menafikan perbuatan meminta pertolongan dengan selain Allah, sedangkan terdapat suruhan melakukan perbuatan tersebut di dalam pelbagai tempat dari al-Quran dan juga Sunnah.

Allah SWT berfirman: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.” (al-Baqarah:45) Allah SWT juga berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.”(al-Anfal:60) Al-Quran juga telah menceritakan tentang seorang hamba yang soleh, Zul Qarnain sebagaimana firmanNya: “Oleh itu, bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai).” (al-Kahfi:95)

Dalam pensyariatan Solat al-Khauf yang thabit melalui al Quran dan Sunnah disyariatkan supaya saling tolong menolong. Demikian juga dalam perintah Allah SWT ke atas orang-orang Mukmin supaya mengambil sikap berhati-hati dengan serangan musuh mereka.

Perintah meminta pertolongan kepada makhluk ini turut dinyatakan dalam galakan Rasulullah SAW agar orang-orang Mukmin saling membantu memenuhi hajat dan keperluan saudaranya, memudahkan kesusahan orang lain dan membantu melepaskan suatu bebanan. Bahkan juga, ia terdapat dalam peringatannya daripada melalaikan amalan tersebut. Hal-hal seperti ini banyak terdapat di dalam Sunnah. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: “Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya pula.”

Telah meriwayatkan Muslim dan Abu Daud serta lain-lainnya daripada Rasulullah SAW bersabda: “Allah sentiasa membantu hamba selama hamba tersebut membantu saudaranya yang lain.” Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai makhluk yang Dia mencipta mereka untuk menunaikan keperluan-keperluan orang lain; ramai manusia yang datang kepadanya membawa hajat-hajat mereka. Mereka adalah orang-orang yang aman dari azab Allah.” Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW: “Orang ramai datang membawa hajat-hajat mereka.” Rasulullah SAW tidak menggolongkan orang-orang ini di dalam golongan orang-orang yang melakukan kesyirikan, bahkan juga bukan dari golongan yang melakukan dosa atau maksiat.

Al-Tabrani dan juga Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa kaum yang diberikan khusus kepada mereka nikmat-nikmat untuk manfaat hamba-hambaNya. Allah menetapkan mereka dalam nikmat tersebut selama mereka mencurahkan nikmat tersebut (kepada hambaNya). Maka apabila mereka tidak mahu mengeluarkan nikmat tersebut (untuk orang ramai), Allah mencabutnya daripada mereka, lalu mengalihkannya kepada orang lain.”

Al-Hafiz al-Munziri berkata: Jika hadith tersebut dikatakan sanadnya adalah hasan, nescaya ia harus terjadi. Sabda Rasulullah SAW: “Seseorang kamu yang berjalan bersama saudaranya kerana menunaikan hajatnya - sambil mengisyaratkan dengan jarinya - adalah lebih afdhal daripada beriktikaf di dalam masjidku ini selama dua bulan.” (diriwayatkan oleh al-Hakim dan beliau berkata: Hadith ini sohih sanadnya. Demikian juga seperti yang terdapat di dalam al-Targhib (3/372).

Jika benar-benar terlarang secara mutlak memohon bantuan kepada selain Allah SWT, maka nescaya nas-nas di atas tidak akan menyifatkan sesetengah hamba pilihan sebagai mampu menunaikan hajat orang lain. Hakikatnya, mereka yang memohon bantuan sebenarnya memohon kepada Allah SWT manakala yang membantu menunaikan hajat dalam erti kata sebenar adalah semata-mata Allah SWT jua.

No comments:

Post a Comment